dunkin donuts

Anda pernah makan donat? Paling kurang pun hasil masakan ibu di rumah, ataupun beli di pasar dan di mana-mana warung dan kedai. Tetapi, biasanya hanya satu perisa sahaja, iaitu donat yang ditabur dengan gula.

Namun, pernahkah anda menikmati pelbagai jenis perisa donat? Kami dapat baca fikiran anda! Bagi anda yang sudah biasa, sudah pasti minda anda terimbas dengan jenama Dunkin’ Donuts.

Ya, ia adalah sebuah rangkaian kedai yang fokus kepada menjual donat yang beraneka rasa. Pada kali ini, kita akan cungkil sedikit mengenai bisnes, sejarah dan rahsia kejayaan mereka. Semoga menjadi inspirasi untuk bisnes yang anda lakukan.

Dunkin’ Donuts dimulakan pada tahun 1950 oleh William Rosenberg selepas kejayaan perniagaan “The Open Kettle” (kedai kopi dan donat) yang dilakukan sebelum itu. Semasa artikel ini ditulis, terdapat lebih daripada 10,000 rangkaian kedai Dunkin’ Donuts di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Sejak beroperasi dari tahun 1950 sehingga kini, pasti ada rahsia Dunkin’ Donuts boleh bertahan begitu lama dalam pasaran.

Mengapa Dunkin’ Donuts Berjaya?

1. Fokus Utama

Salah satu faktor kejayaan Dunkin’ Donuts adalah fokus mereka yang tetap sama sejak dulu iaitu, kopi dan makanan segera seperti donat dan sandwic. Tiada perubahan ataupun penambahan produk-produk lain yang jauh lari daripada skop bidang yang asal.

Pada pandangan biasa, kita menganggap Dunkin’ Donuts hanya memberi fokus pada donat dan makanan segera sahaja, sebaliknya tidak. Sebenarnya, lebih daripada 50% keuntungan Dunkin’ Donuts adalah melalui jualan air kopinya. Malah, itulah sebenarnya yang Dunkin’ Donuts fokuskan iaitu kopi. Mereka adalah di antara rangkaian kedai kopi yang terbaik di Amerika, selain daripada Starbucks.

2. Jelas dengan pasaran tumpuan

Pada asasnya, sasaran mereka adalah semua umur dan bangsa. Namun, mereka lebih utamakan golongan bekerja, berumur lingkungan 22-55 tahun dan semua jantina, tidak kira bangsa. Dari segi harga, mereka fokus pada harga yang mampu dibayar oleh pelanggan sasaran mereka. Dengan menetapkan pelanggan sasaran, maka mereka tidak akan tersilap memilih tempat untuk mewujudkan cawangan yang baru.

3. Kepimpinan yang hebat

Dunkin’ Donuts mempunyai pengasas dan pemimpin yang hebat, iaitu William Rosenberg (meninggal dunia pada tahun 2002). Beliau menerapkan pelbagai pengisian dan inspirasi ke dalam Dunkin’ Donuts bagi memastikan organisasinya terus kekal berjaya. Beliau digelarkan sebagai “the father of franchising” dan juga “One of the most influential and innovative individuals the food service industry has ever known.”

4. Manual Operasi

Setiap rangkaian kedai Dunkin’ Donuts (francais) mempunyai manual operasi yang sama. Ia melancarkan pengurusan bagi setiap kedai. Manual operasi biasanya mengandungi cara-cara melakukan sesuatu bagi setiap bahagian, seperti layanan pelanggan, susun atur produk, tatacara di dapur dan sebagainya. Sebab itulah, Dunkin’ Donuts cepat berkembang, malah jumlah rangkaian terus bertambah dari tahun ke tahun. Mereka bekalkan fasiliti, latihan dan manual operasi. Jadi proses penubuhan rangkaian baru menjadi lebih mudah dan cepat.

5. Jual beli yang mudah

Tidak seperti jenama lain, Dunkin’ Donuts mempunyai cara tersendiri dalam memudahkan pelanggan mereka membuat pembelian. Contohnya, Dunkin’ Donuts tidak menggunakan nama kopi yang pelik dan sukar untuk disebut. Dengan itu, pelanggan lebih mudah untuk membeli. Begitu juga keadaan dalam kedai, cahaya sinaran lampu adalah lebih cerah. Ini memudahkan pelanggan yang tidak mempunyai penglihatan yang baik membuat pilihan produk.

Untuk bacaan selanjutnya dapatkan Majalah Inspirasi Kejayaan Isu 10. Hubungi kami Di Sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × three =