Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ia adalah bulan yang penuh rahmat. Orang yang berpuasa dijanjikan dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding berpuasa pada bulan-bulan yang lain.

Namun, salah satu ‘Tragedi’ yang sering berlaku adalah, ‘Duit Hangus di bulan Ramadan!’ – kos perbelanjaan yang melambung naik pada bulan ini lebih tinggi berbanding bulan yang lain. Walhal pada bulan lain, kita biasanya makan mungkin dalam 3-4 kali sehari, tetapi di bulan puasa kita cuma makan sedikit pada waktu sahur dan berbuka sahaja.

Di manakah silapnya, apakah puncanya dan bagaimanakah cara kita dapat keluar daripada belenggu ini? – 7 Tip Menyelamatkan Wang Anda di bulan puasa ini, PASTI dapat membantu anda :

Tip 1 – Pilih jarak membeli  yang Terdekat.

Elakkan ke pasar Ramadan yang jauh dari rumah agar anda tidak akan membazir minyak kenderaan anda dan tidak menghabiskan banyak masa dalam kesesakan lalu lintas. Biasanya pada bulan puasa, orang ramai akan bergegas untuk balik awal dan jalan mudah menjadi sesak.

Gunakan baki masa yang ada sebelum berbuka untuk bersama dengan keluarga dan menghayati bulan Ramadan dengan lebih baik, seperti membaca buku, berzikir, menonton rancangan keagamaan dan sebagainya.

Tip 2. Masak menu sendiri

Ambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri, anak-anak dan keluarga dengan memasak juadah berbuka secara bersama-sama. Malah lebih berkat berbanding dengan membeli atau berbuka puasa di kedai dan restoran, kerana rahmat Allah terus turun memayungi rumah tangga kita.

Adalah diakui, keluarga di kota metropolitan khususnya, mengalami kesuntukan masa untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa, malah sudah penat bekerja seharian. Usah gusar, kerana tip kedua ini boleh diamalkan sekali dua sahaja seminggu. Itu sudah memadai daripada tidak langsung melakukannya dan mampu menjimatkan sebahagian wang belanja untuk seminggu!

Tip 3. Letakkan sasaran

Mungkin pada puasa-puasa yang lepas, anda hanya berbelanja mengikut rasa. Anda langsung tidak FIKIR dulu sebelum pergi membeli. Puasa kali ini, letakkan sasaran anda terlebih dahulu. Fikir dan tulis apa yang hendak dibeli. Rancang dulu apa yang \ hendak dimakan. Setelah keputusan dibuat, barulah keluar mencari makanan.

BELI apa yang dirancang untuk beli. Selepas membeli, terus pulang ke rumah dan jangan berjalan-jalan lagi untuk sekadar tengoktengok, ini hanya mengundang perbelanjaan yang lebih. Apabila kita fokus kepada matlamat dan perancangan kita, secara automatik kita mulai pandai berjimat. Berbanding dengan waktu kita tidak meletakkan apa-apa sasaran dan keluar berbelanja tanpa perancangan, cara ini pasti dapat menyelamatkan wang anda.

Tip 4. Pendapatan tambahan

Orang-orang yang bijak pandai biasanya tidak akan menggunakan wang gaji bulanan semata mata untuk kos-kos yang tidak memberikan keuntungan jangka panjang, sebaliknya mereka mempunyai pelbagai sumber pendapatan tambahan lain yang sentiasa masuk ke akaun bank mereka pada setiap bulan. Jadi, membuat simpanan daripada pendapatan tambahan pastinya dapat membantu untuk menyelamatkan wang anda yang sedia ada. Cuba kumpul hasil daripada sumber

pendapatan lain, seperti, berniaga secara part time!

Mungkin anda boleh membuka business yang dioperasikan oleh orang lain, menjadi pengedar bergerak untuk produk-produk pada manamana syarikat ataupun dengan teknologi Internet sekarang, anda juga boleh memulakan business kecil-kecilan secara online dengan kadar kos yang amat rendah, tetapi

memberikan keuntungan yang berganda-ganda. Setiap dari pendapatan tambahan yang didapati inilah anda kumpulkan untuk menjadi penyelamat kepada wang anda!

Tip 5. Jangan bawa banyak tunai

Apabila anda pergi ke pasar Ramadan, kedai, gerai jualan dan sebagainya, elakkan membawa banyak duit tunai. Hadkan jumlahnya agar anda tidak dapat membeli sesuatu yang anda tidak perlukan. Mempunyai banyak tunai bersama anda, hanya akan membuatkan anda berbelanja mengikut nafsu.

Dan sekiranya anda perlu berbelanja untuk barangan dapur, cuba rancang dan tulis senarai keperluan anda untuk tempoh seminggu ataupun sebulan. Dengan cara ini anda akan dapat selamatkan banyak wang anda dari keluar melimpah bagaikan tab air paip yang bocor.

Tip 6. Pesongkan keinginan

Apabila rasa mahu membeli banyak makanan atau barangan mula meresap dalam diri anda, cekalkan hati, tabahkan jiwa, dan lawan hawa nafsu yang bergolak, kemudian dengan sungguh-sungguh, pesongkan keinginan itu dengan membeli sesuatu yang lebih bermanfaat untuk jangka masa lama, seperti buku dan majalah ilmiah. Atau anda juga boleh menukar haluan perjalanan secara drastik agar anda tidak perlu

lalui jalan yang membuatkan anda mudah terpikat untuk berbelanja lebih dari sepatutnya. Agak sukar untuk melakukan cara ini, namun mulakan SATU langkah pertama anda sahaja, kemudian anda dapat lihat anda sendiri telah “menyelamatkan” wang anda daripada hangus dan membazir.

Tip 7. Rancang perbelanjaan hari raya lebih awal

Elakkan membuat perancangan secara tergesagesa untuk persiapan hari raya. Membuat pembelian secara tergesa-gesa dan di saat-saat akhir biasanya akan menyebabkan kita membeli secara spontan dan lebih kepada keinginan

semata-mata. Luangkan masa untuk merancang barangbarang yang perlu dibeli. Usaha sekali ini mampu menjimatkan wang ringgit kita kerana kita sudah tahu jumlah wang yang akan mengalir keluar.

Akhir kata, tidak semua situasi sesuai untuk kita berjimat, adakalanya kita perlu berbelanja juga. Tiada cara lain melainkan kita berusaha untuk mengubah diri kita menjadi lebih bernilai, maju dan mempunyai lebih kemampuan dari segi kewangan.

Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu’bah, katanya, • “Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hiduphidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” – Hadis riwayat al-Bukhari Jadi, sebanyak mana pun kekayaan kita, berjimat cermatlah dan janganlah membazir. Kerana itulah amalan yang disukai oleh Allah, dan merupakan sifat orang yang beriman.

Reminder!

Pastikan duit anda tidak HANGUS di bulan Ramadhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =