Setiapkali menjelangnya bulan Ramadan yang mulia, panorama biasa di bazaar ramadan yang akan dapat kita lihat dan saksikan adalah pelbagai jenis juadah berbuka puasa pasti memenuhi tiap sudut meja yang telah dibuka untuk jualan. Selalunya, pada waktu inilah ramai peniaga-peniaga baru akan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan memenuhi ruang niaga.

Pastinya mereka ingin turut serta mencuba bakat dan resepi masing-masing untuk samasama berniaga bagi memeriahkan bazaar ramadan, di samping berusaha mendapatkan rezeki lebih sebagai persediaan untuk menyambut lebaran.

Sebenarnya sebahagian daripada peniagapeniaga yang kita temui di bazar-bazar Ramadan itu tidak pernah kelihatan pun kelibat mereka berniaga di mana-mana tempat sebelum ini, tetapi dengan hadirnya Ramadan Al-Mubaraq, ianya membuka peluang besar untuk mereka menambahkan pendapatan sampingan, maka kesempatan yang datang setahun sekali itu telah direbut sebaiknya.

Tertipu tanpa sedar

Selalunya, dalam kesibukan kita mencari juadah untuk berbuka puasa, kita sering “terkena” apabila terbeli makanan-makanan yang telah di “Kitar semula” untuk jualan bagi menjimatkan kos dan mengaut untung lebih dengan memperdaya pelanggan.

Perkara sebegini sering dilakukan oleh peniaga peniaga di bazar ramadan yang tidak jujur, tanpa kita sedari. Acap kali kita akan terbeli makanan yang telah basi dijual kembali dan apabila pulang ke rumah untuk menikmati juadah tersebut sewaktu berbuka puasa, barulah kita menyedari bahawa makanan yang dibeli sudah tidak elok lagi untuk disuapkan ke mulut. Jika sekiranya termakan makanan yang sudah rosak itu, sudah pasti ia memudaratkan diri dan menyebabkan keracunan makanan.

Perbuatan seumpama ini sering dilakukan oleh para peniaga yang tidak begitu mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual, sebaliknya hanya tahu untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan kadar segera tanpa memperdulikan perasaan pelanggan yang mengeluarkan wang untuk membeli makanan daripada mereka.

Sikap sebegini amatlah dikesali sama sekali dan tidak harus dilakukan oleh para peniaga Islam, semata mata demi untuk mengaut keuntungan berganda dengan cara yang pantas dan mudah sehingga tergamak menipu pelanggan.

Inilah yang dikatakan, “HARAM DALAM HALAL” – menipu dan memperdaya pelanggan itu haram, di dalam perniagaan yang halal di bulan yang mulia.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa :

Rasulullah SAW lalu berdekatan dengan selonggok makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya :

“Apa semua ini wahai tuan punya makanan?” Orang itu menjawab “Terkena hujan wahai Rasulullah.”

Orang itu menjawab “Terkena hujan wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda : “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.” (Hadis Riwayat : Muslim, At-Tirmizi.)

Berdasarkan hadis di atas, huraiannya adalah seperti berikut : Di antara sifat Rasulullah SAW ialah baginda sentiasa mengambil berat tentang urusan umatnya termasuklah urusan mu’amalat mereka. Ini mendorong baginda untuk meninjau bagaimana keadaan perjalanan jual beli yang dilakukan oleh umatnya di pasar.

Di dalam kes di atas, jelas kelihatan betapa peniaga tersebut telah cuba untuk menipu pelanggan dengan menyorokkan makanan yang tidak elok di bawah.

Perbuatan sebegini adalah dianggap sebagai satu penipuan oleh Rasulullah SAW dan amat dilarang keras kerana ia bercanggah dengan tuntutan iman seorang mukmin.

Biarpun makanan itu masih belum rosak tetapi dengan perbuatan sedemikian ia tetap boleh memudaratkan orang lain apabila memakannya kelak. Oleh yang demikian, Elakkanlah daripada menjual makanan yang telah rosak!

Meskipun anda pasti akan mengalami kerugian dan tidak langsung menguntungkan para peniaga tetapi insya-Allah jika kita jujur, akan ada balasan setimpal menanti dan mungkin Allah SWT akan mengurniakan rezeki serta keuntungan melalui jalan yang lain pula. Teramat rugi apabila rezeki yang sepatutnya kita dapat dengan halal, telah berubah menjadi haram dan berdosa!

Peringatan Bersama :

  • Jaga kualiti makanan untuk terus mendapatkan pelanggan tetap yang sentiasa membeli.
  • Elakkan unsur-unsur penipuan agar perniagaan mendapat keberkatan ilahi.
  • Pamerkan kejujuran dan keikhlasan di dalam berniaga agar anda dipercayai oleh pelanggan.
  • Tanamkan sifat amanah dalam diri ketika berniaga barulah barangan anda akan lebih disukai dan tidak rugi.
  • Rugi yang sebenarnya rugi adalah apabila yang halal menjadi haram.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 7 =