Puan Noraini Saleh - Kegigihan Membuahkan Kejayaan

Dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV), Puan Noraini binti Saleh telah mula membina kerjaya awalnya sebagai seorang Chef bermula sejak tahun 1990 lagi. Jawatan pertama beliau ketika itu adalah sebagai seorang pembantu dapur (Kitchen Helper). Ini amat berbeza sekali dengan jurusan yang diambil oleh beliau ketika menuntut di Sekolah Menengah Vokasional di Kuala lumpur, yang mana beliau sebenarnya belajar dalam bidang jahitan.

Sebagai seorang ibu tunggal yang menyara sendiri anak-anaknya seramai tiga orang, Puan Noraini cuba memohon pekerjaan di salah sebuah hotel sebagai “kitchen helper” setelah berpisah dengan suaminya. Kebetulan pula pada waktu itu pekerjaan sebagai tukang jahit agak kurang, jadi beliau sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan yang ada demi membesarkan ketiga-tiga anaknya. Tanggungjawab ini terpaksa digalasnya bersendirian memandangkan bekas suaminya langsung tidak mengambil berat dan menghiraukan anak-anaknya lagi selepas mereka berpisah.

Menurut puan Noraini, sebagai seorang wanita, beliau mengakui bahawa beliau juga mempunyai perasaan malu dalam diri untuk berhadapan dengan Chef-Chef lelaki. Namun begitu, demi tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya, maka perasaan itu terpaksa dilontar jauh dari lubuk hati agar ianya tidak terus menjadi batu penghalang untuk beliau berjaya. Tidak dinafikan juga bahawa beliau sering dimarahi oleh Chef lelaki apabila melakukan sebarang kesilapan, ketika melaksanakan tugasan yang diberi, tetapi semua itu tidak pernah langsung mematahkan semangatnya.

Puan Noraini juga memberitahu, bertugas di hotel bukanlah mudah. Ianya merupakan sesuatu yang amat mencabar kerana pada masa yang sama beliau juga terpaksa mengangkat barang dan bendabenda berat apabila disuruh oleh Chef lelaki. Pendek kata, apa sahaja kerja yang dibuat oleh lelaki maka wanita juga tidak terkecuali daripada melakukannya. Jadi, tidak hairanlah jika di Malaysia ini jawatan sebagai Chef kebanyakannya dipelopori oleh kaum lelaki, memandangkan ketahanan diri mereka agak kuat dan sanggup berdepan dengan cabaran.

Untuk bacaan selanjutnya dapatkan Majalah Inspirasi Kejayaan Isu 8. Hubungi kami Di Sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 8 =