Sayidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang paling akrab dengan junjungan mulia Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 570 Masihi. Nama sebenar beliau adalah Abdullah Ibni Abi Qahafah. Pada awalnya beliau digelar sebagai Abdull Kaabah yang memberi pengertian hamba kaabah.

Namun selepas pengislamannya, nama beliau bertukar kepada Abdullah. Ibunya bernama Salma Binti Shakhar atau juga lebih dikenali sebagai “Ummu Khoir” yang bererti Ibu yang baik. Berasal daripada keturunan Bangsawan Quraisy iaitu kaum Bani Tamim. Beliau diberi nama Abu Bakar adalah kerana beliau merupakan orang yang mula-mula beriman dengan dakwah yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW selain Bakar itu di dalam bahasa arab bermaksud “unta muda”. Ini kerana beliau amat gemar memelihara dan menternak unta.

Saudagar menjadi Khalifah Pertama

Sayidina Abu Bakar As-Siddiq telah dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama iaitu selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632 Hijrah. Sebelum dilantik sebagai Khalifah Islam pertama, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang pedagang dan usahawan Islam terbilang yang kaya-raya, terpelajar serta disanjung tinggi oleh kaum Quraisy.

Antara perniagaan beliau adalah penjualan kain di pasar, di samping turut memiliki kebun kurma, membiak banyakan unta-unta dan berbagai-bagai jenis perniagaan lain lagi. Beliau telah memeluk agama Islam selepas Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul dan beliau adalah lelaki pertama yang memeluk agama Islam.

Mengapa digelar As-Siddiq?

Gelaran “As-Siddiq” telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Sayidina Abu Bakar As-Siddiq adalah kerana sikap dan pendiriannya yang begitu teguh dalam membenarkan kata-kata Rasulullah SAW ketika berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Ketika itu, sebaik saja Rasulullah SAW selesai melakukan Israk dan Mikraj dari Masjidil al- Haram ke Masjidil al-Aqsa, seterusnya naik ke Tujuh Petala Langit di Sidratul Muntaha dan kemudiannya kembali semula ke Baitul Makmur di Mekah pada malam yang sama pada 27 Rejab tahun ke-11 selepas baginda dilantik menjadi Rasul iaitu 3 tahun sebelum hijrah.

Segolongan orang yang tidak mempercayai apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kemudiannya telah pergi menemui Sayidina Abu Bakar As-Siddiq untuk mendengarkan dan mengetahui pendapat beliau sendiri mengenai dakwaan yang dibuat oleh Rasulullah SAW itu samada benar atau sebaliknya. Mereka menyangka bahawa Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu kali ini akan turut mendustakan kisah yang langsung tidak masuk akal itu pada fikiran mereka. Setelah pertanyaan itu disampaikan kepada Sayidina Abu Bakar As- Siddiq, maka beliau pun bertanya…

  • “Adakah Muhammad berkata begitu?”
  • lantas sahut mereka “Benar!”
  • Sayidina Abu Bakar As-Siddiq pun lantas berkata… “Jika Muhammad berkata begitu, maka sungguh benarlah apa yang telah diceritakannya itu,”
  • “Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa Muhammad sampai ke Tanah Syam lebih sebulan perjalanan dan pulang pada malam semalam?”
  • Maka Sayidina Abu Bakar pun menyahut dengan tegas membalas soalan kaum yang tidak mempercayai kerasulan nabi itu. “Benar, Aku percaya! Malah lebih daripada itu aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dan langit yang diberitakannya itu, baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam.”

Pengorbanan saudagar

Dengan harta kekayaan yang dimilikinya, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq telah banyak menginfakkan keseluruhan daripada harta miliknya untuk perjuangan jihadnya menegakkan agama Islam yang Syumul. Beliau begitu banyak menyumbangkan tenaga, wang ringgit, harta kekayaan serta seluruh jiwa raganya demi perkembangan Islam sejagat.

Beliau sangat dihormati oleh Masyarakat Quraisy kerana keluhuran hati budi dan sikapnya yang dermawan.

Di samping itu, beliau juga adalah manusia yang paling agung dan mulia dalam sejarah Islam selepas baginda Rasulullah SAW. Sayidina Abu Bakar As-Siddiq adalah tokoh sahabat terbilang yang tiada tolok bandingnya serta sukar dicari.

Kerendahan hati budinya ketika memegang kuasa dan tampuk pemerintahan menjadikan beliau seorang pemimpin atau khalifah yang amat disegani dan disenangi rakyat seluruhnya. Tutur bahasanya yang lembut, sopan dan menarik hati amat dikagumi dan disayangi oleh rakyat jelata serta baginda Rasulullah SAW sendiri.

Beliau juga adalah seorang yang tidak lokek untuk membelanjakan keseluruhan harta peribadi miliknya bagi membantu masyarakat sekitar. Apatah lagi setelah beliau menjadi seorang Khalifah Ulung yang memerintah Negara. Beliau telah sanggup mengorbankan seluruh harta benda miliknya untuk menebus kembali hamba-hamba yang telah ditawan, ditangkap dan diseksa sewaktu berlakunyapeperangan. Beliau telah membeli hamba hamba tawanan kemudian memerdekakannya.

Salah seorang hamba tawanan yang telah dibeli dan dibebaskan ialah Bilal bin Rabbah, yang juga amat terkenal dalam sejarah Islam. Pendek kata, Dalam kalangan para sahabat-sahabat Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq adalah seorang sahabat dan khalifah yang paling banyak menginfakkan harta kekayaan miliknya demi menegakkan Islam tercinta.

Itulah kehebatan jiwa yang dimiliki oleh Sayidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah agung yang amat dermawan dengan kemurahan hatinya bagi membantu orang yang susah. Sesungguhnya pengorbanan beliau memang tiada tandingan di dunia ini.

Telah disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 265 mahfumnya :

“Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha melihat apa yang kamu lakukan.” (Petikan Surah Al-Baqarah ayat : 265.)

Demikianlah selingkar kisah ketokohan seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Sayidina Abu Bakar As- Siddiq yang boleh kita jadikan contoh teladan terbaik untuk menguruskan harta yang ada sebaik mungkin agar semakin berkat, bertambah dan bercambah dengan mendapat seribu satu kebaikan dan keberkatan dari Ilahi.

Sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus berusaha dan beramal tanpa henti serta perbanyakkanlah amal jariah dan sedekah. Juga jangan sesekali lupa untuk menunaikan zakat fitrah, demi untuk memakmurkan lagi jiwa dan umat Islam. Semuga setiap amal dan hasil usaha yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 5 =