Tamak Hasil Dari Hasutan Syaitan

Sebenarnya, apabila kita bercakap soal TAMAK… ianya adalah sesuatu yang tidak perlu lagi kita pertimbangkan, kerana Tamak adalah salah satu sikap yang perlu dielak dan dijauhkan oleh para peniaga, jika mahukan perniagaan mereka kekal berterusan dan berpanjangan.

Seandainya diri dikuasai sifat tamak, terhasut dengan hasutan-hasutan syaitan, maka usah hairan jikalau hari ini perniagaan mereka seakan maju dan berjaya, tetapi selepas itu lingkup dan terpaksa gulung tikar akibat tekanan harga yang diberikan kepada pelanggan dan pengguna begitu mencekik darah dan amat tidak munasabah di fikiran.

Fenomena ini sering sahaja berlaku pada waktuwaktu tertentu, seperti ketika berlaku kenaikan harga barangan, ketika menyambut sebarang perayaan penting dan juga waktu musim tengkujuh. Kebanyakan para peniaga begitu gemar mengambil kesempatan seperti ini, demi untuk mengaut keuntungan yang banyak dan berkali-kali ganda di dalam perniagaan mereka untuk tempoh waktu yang singkat.

Namun begitu, yang terbeban dan tertindas dengan sikap peniaga seumpama ini adalah para pengguna, kerana terpaksa membeli barang-barang keperluan tersebut dengan harga yang mahal dan tidak berpatutan, demi kegunaan seisi keluarga. Peniaga harus ingat, walaupun usaha mereka mencari rezeki itu halal kerana susah payah hasil daripada titik peluh sendiri berniaga dan tidak terbatas untuk mendapatkan seberapa banyak keuntungan tetapi, mereka perlu sedar dan tahu, tidak semua pengguna atau pelanggan itu kaya-raya, banyak duit dan mewah untuk berbelanja sewenangnya tanpa had.

Sebagai peniaga, anda perlu rasional dalam meletakkan sesuatu harga terhadap barangan anda. Jika barang atau produk anda berkualiti tinggi dan sangat diperlukan, maka pelanggan ataupun pembeli tetap akan mencari anda untuk mendapatkan barangan tersebut.

Mereka tidak akan membeli dan mencari di tempat lain, sekiranya harga yang ditawar dan diberikan oleh peniaga amat berpatutan, di samping khidmat dan layanan terhadap pengguna amat memuaskan. Sikap timbang rasa dan tolak ansur kedua-dua pihak, iaitu antara peniaga dan pengguna amat perlu sekali dipupuk.

Ia bukan sahaja baik untuk hubungan dua hala tetapi mampu memberikan keuntungan yang lebih besar lagi apabila ramai pelanggan yang datang amat menyukai sikap diri, perkhidmatan dan produk-produk jualan para peniaga yang berniaga.

Untuk bacaan selanjutnya dapatkan Majalah Inspirasi Kejayaan Isu 10. Hubungi kami Di Sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + nineteen =